GERD (Gastroesophageal Reflux Disease) adalah sejenis penyakit berkaitan pencernaan yang berlaku apabila makanan atau cecair berasid di dalam perut keluar dan naik semula ke dalam esofagus, menyebabkan rasa sakit, rasa terbakar, dan gejala lain.
Jika anda yang mengalami sakit GERD atau asid refluks, anda perlu memberi perhatian kepada makanan dan minuman yang anda ambil untuk mengurangkan gejala tidak selesa.
Berikut ialah beberapa garis panduan yang dikongsikan oleh Dr Suri Roowi tentang makanan yang boleh membantu menguruskan GERD.
1. Minum air kelapa
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Biochemistry and Nutrition, asid refluk dan GERD mungkin disebabkan oleh keradangan pada sistem penghadaman.
Air kelapa tanpa gula boleh menjadi satu pilihan yang baik untuk orang yang mempunyai asid refluk dan GERD.
Ini kerana minuman ini kaya potassium. Bahan ini menggalakkan keseimbangan pH dalam badan dan seterusnya mengawal asid refluks. Potasium juga tinggi dalam kelapa muda berbanding kelapa tua.
2. Minum air tebu
Kajian telah dilakukan di Australia melibatkan 43 orang menunjukkan air tebu bantu atasi masalah GERD.
Kajian ini diterbitkan dalam Journal Nutrients pada tahun 2020.
Hasil kajian menunjukkan 22 orang yang minum air tebu setiap hari menunjukkan pengurangan ketara pedih ulu hati dan pengurangan gejala GERD.
3. Minum air kunyit
Menurut kajian pada tahun 2007, penyakit GERD mungkin disebabkan oleh keradangan. Kunyit dikatakan mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang dan boleh melegakan GERD.
Kunyit mengandungi curcumin yang bertindak sebagai antioksidan, anti-radang dan membantu mengatasi masalah GERD dan usus.
Serbuk lada hitam diperlukan untuk meningkatkan penyerapan bahan khasiat kunyit ke dalam darah.
Kunyit juga membantu masalah jantung. Kajian ke atas 121 individu menunjukkan pemberian 4 g kunyit selama beberapa hari dapat kurangkan risiko serangan jantung (Am J Cardiol .2012)
Walau bagaimanapun, pesakit yang akan menjalani pembedahan perlu mengelakkan mengambil kunyit kerana kunyit boleh meningkatkan risiko pendarahan (darah susah berhenti).
4. Kurangkan minum kopi
Beberapa kajian menunjukkan minum kopi berlebihan boleh menyebabkan pelepasan asid gastrik. Rembesan asid gastrik selanjutnya boleh menyebabkan berlakunya refluks, pedih ulu hati dan GERD.