HomeBeritaAzraai Khor meninggal dunia

Azraai Khor meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Arena bola sepak negara terus menyaksikan kejutan, apabila kehilangan seorang lagi permata berharga yang tiada ganti.

Ini selepas legenda jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah meninggal dunia pada Khamis.

Azraai Khor yang juga bekas pemain kebangsaan era 1970-an meninggal dunia akibat strok sebentar tadi.

Perkara tersebut disahkan oleh anak Allahyarham, Firdaus Zainuddin menerusi hantaran di laman Facebook.

“Assalamualaikum W.B.T kepada yang mengenali dan membaca (berita pemergian Allahyarham)…

“Mohon sedekahkan al-Fatihah buat bapa saya Mohd Azraai Khor, yang telah meninggal dunia sebentar tadi, Mohon sama-sama kita berdoa agar Allahyarhuma ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Amin.

“Semoga rohnya dilimpahi dengan belas kasihan daripada Allah Azzawajalla dan semoga Allah mengangkat darjatnya bersama-sama dengan hamba-hambanya yang soleh,” tulisnya pada Khamis.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengucapkan takziah dan mengesahkan  bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat strok.

“Salam Takziah… Bekas pemain kebangsaan, Mohd Azraai Khor Abdullah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun, sebentar tadi selepas diserang strok.

“Bekas pemain Kedah era 70-an itu yang nama asalnya Khor Sek Leng telah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978 dengan menganggotai skuad ke Piala Raja Thai, Pra-Olimpik, Pestabola Merdeka, Piala Asia 1976 di Tehran dan Sukan Asia 1978 di Bangkok.

“Sebagai jurulatih pula, Allahyarham membawa Kedah muncul juara double treble pada 2007 dan 2008, selain turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan lain seperti Negeri Sembilan dan Perak serta menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda pada 2010.

“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Selasa lalu, Khalid Ali yang juga bekas pemain kebangsaan meninggal dunia pada usia 66 tahun, selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru.

Author

Pilihan Editor