HomeBerita'Bagaimana maklumat sulit jatuh ke tangan agensi berita luar?' soal Wan Ahmad...

‘Bagaimana maklumat sulit jatuh ke tangan agensi berita luar?’ soal Wan Ahmad Fayshal

CYBERJAYA: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil mempersoalkan mengenai maklumat keputusan Lembaga Pengampunan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh jatuh ke tangan agensi berita luar negara.

Menurut Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, perkara itu dibangkitkan selepas keputusan yang diumumkan pada Jumaat mengesahkan laporan oleh agensi berita Singapura, Channel NewsAsia (CNA) yang telah tular sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, maklumat sulit berkenaan sepatutnya perlu dijaga, manakala menteri berkaitan perlu memberi penjelasan bagi menjawab isu tersebut.

“Persoalan timbul bagaimana maklumat yang begitu sulit dan sensitif ini boleh jatuh ke tangan agensi berita luar negara di zaman kerajaan Madani ini?

“Menteri Komunikasi harus mengambil tanggungjawab atas keculasan yang nyata,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Tangkap layar hantaran Wan Ahmad Fayshal di laman Facebook.

Terdahulu, CNA melaporkan, hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib atas pertuduhan rasuah, dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya pada Isnin lalu.

Dengan memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, CNA mendakwa, keputusan Lembaga Pengampunan yang diketuai Yang di-Pertuan Agong ketika itu juga termasuk pengurangan denda RM210 juta kepada jumlah yang tidak ditentukan.

Menurut tiga sumber berasingan yang bercakap dengan syarat kerahsiaan ketat itu, pengampunan separa diraja atas pembabitannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dibuat selepas menjalani hukuman penjara kurang dua tahun.

Pengumuman pada Jumaat menyaksikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan bahawa, Najib diberi pengurangan sebanyak 50 peratus bagi hukuman penjara dan denda yang perlu dibayar.

Menurut Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Sementara itu, denda yang sepatutnya perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Lembaga Pengampunan juga harus memberi penjelasan mengenai kaedah penilaian dan timbangan dalam membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman Najib.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan polemik dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Peguam Negara dan Perdana Menteri, sebagai penasihat utama bagi pihak Lembaga kepada Yang Dipertuan Agong perlu mengeluarkan kenyataan berhubung penjelasan ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor