AROMA wangi yang ada pada mangga harumanis pasti membuatkan orang ramai terliur hendak rasai keenakan buah tersebut.
Malah, pasti ada sebilangan daripada kita yang tidak sabar menanti musim harumanis kunjung tiba.
Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Perlis menjangkakan 60 peratus pokok harumanis di negeri itu akan mengeluarkan hasil pada pertengahan April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, pihaknya turut menjangkakan pengeluaran mangga harumanis pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu berikutan cuaca panas ketika ini.
Katanya, pengeluaran hasil pertanian itu diunjurkan mencecah sehingga 1,200 tan berbanding tahun lalu sebanyak 1,189 tan.
“Berdasarkan prestasi semasa, 60 peratus pokok harumanis sekitar negeri ini telah berbunga dan bakal mengeluarkan hasil pada pertengahan April depan.
“Berkemungkinan akan ada juga sedikit lagi pertambahan hasil selepas ini berikutan masih terdapat pokok yang dilihat berpotensi untuk berbunga,” katanya seperti dilapor, Kosmo.
Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan harga mangga premium itu akan dipasarkan sekitar RM35 sekilogram bagi gred A.
Justeru, beliau berharap para pengusaha tidak mengambil kesempatan memasarkan buah tersebut dengan kadar harga tinggi bagi meraih keuntungan berganda.