HomeBeritaDua hari tol percuma sempena Tahun Baharu Cina

Dua hari tol percuma sempena Tahun Baharu Cina

CYBERJAYA: Kerajaan mengumumkan bahawa pengguna lebuh raya akan menikmati pengecualian bayaran tol pada Khamis dan Jumaat, sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan tol percuma membabitkan kenderaan persendirian itu diberikan hasil persetujuan kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Menurutnya, pemberian tol percuma melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM42.99 juta itu akan dilaksanakan di semua lebuh raya, mulai jam 12.01 tengah malam Khamis dan berakhir pada jam 11.59 malam Jumaat.

“Pengecualian tol akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina kali ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Nanta Linggi berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Beliau turut berharap agar pelaksanaan pemberian tol percuma itu akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Pengguna jalan raya juga disaran untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya dan dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Aspek keselamatan dan pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.

Nanta Linggi juga menasihatkan pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya serta memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet mencukupi.

“Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

“Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan,” katanya.

Author

Pilihan Editor