HomeBeritaFamilyMart nafi sokong Zionis, akan tamatkan MoU dengan syarikat Israel

FamilyMart nafi sokong Zionis, akan tamatkan MoU dengan syarikat Israel

CYBERJAYA: FamilyMart Malaysia menyatakan bahawa anak syarikat induknya akan menamatkan memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat pertahanan Israel susulan timbul gesaan memboikot kedai serbaneka Jepun itu.

Kenyataan itu dibuat selepas kecoh di media sosial berhubung tindakan rakyat Jepun yang menggesa orang ramai memboikot FamilyMart baru-baru ini.

Tindakan memboikot itu tercetus apabila orang ramai mendapati, pemegang saham terbesar FamilyMart Co Ltd, Itochu Corporation mempunyai MoU dengan sebuah syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems.

MoU itu nyata tidak disenangi sehingga ramai pihak memuat naik foto demonstrasi rakyat Jepun di hadapan ibu pejabat syarikat Penerbangan Itochu.

Susulan itu, FamilyMart memaklumkan Itochu Corporation akan menamatkan MoU tersebut selepas imej rangkaian kedai serbaneka terbabit terjejas.

“Kami ambil maklum mengenai seruan di media sosial untuk memboikot FamilyMart di Malaysia.

“Keputusan itu dibuat bagi menyokong sokongan kerajaan Jepun terhadap perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa baru-baru ini, termasuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di jalur Gaza.

“FamilyMart Malaysia mengulangi pendirian kami bahawa kami tidak menyokong keganasan atau pembunuhan dan kami tidak menyumbang atau menderma atau berurusan dengan Israel,” kata FamilyMart Malaysia dalam satu kenyataan.

Author

Pilihan Editor