HomeBeritaGas bocor: 10 pekerja kilang dikejarkan ke hospital

Gas bocor: 10 pekerja kilang dikejarkan ke hospital

SHAH ALAM: Seramai 10 pekerja dikejarkan ke hospital susulan kebocoran gas amonia di sebuah kilang di Jalan Keluli 1, Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, di sini, pada Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.15 pagi.

“Siasatan mendapati, kejadian membabitkan kebocoran gas ammonia daripada injap tangki penyimpanan gas ammonia.

“Maklumat terkini mangsa yang terbabit seramai 10 orang iaitu lapan pekerja wanita dan dua pekerja lelaki termasuk seorang pekerja kilang bersebelahan.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam bagi rawatan selanjutnya. Kerja menutup injap bocor sedang dilakukan oleh Pasukan Hazmat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian kebocoran gas ammonia itu.

“Setakat ini pihak polis dan bomba kini berada di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

“Semua pekerja dikejar ke hospital dan sudah mendapat rawatan oksigen. Keadaan mereka stabil,” katanya dalam kenyataan pada hari sama.

 

Author

Pilihan Editor