HomeBeritaViral'Good job writer, pengarah!' - Netizen puji drama Melayu setanding Kdrama

‘Good job writer, pengarah!’ – Netizen puji drama Melayu setanding Kdrama

PASTI ramai yang gemar menonton filem dan drama bersiri dari Korea Selatan kerana jalan penceritaan serta penampilan barisan pelakonnya tampak sempurna.

Malah, ada juga sebilangan karya yang dihasilkan luar dari jangkaan khalayak sehingga mendapat pujian melambung.

Jika dibandingkan dengan hasil karya di Malaysia, sudah pasti ‘jauh ketara’ kerana kebanyakan drama atau filem tempatan kerap kali mendapat kritikan.

Namun, semua itu boleh berubah jika ‘orang kuat’ sesebuah produksi mengambil panduan daripada karya luar dalam memperbaiki kualiti filem dan drama tempatan.

Bukanlah suatu hal yang sukar untuk rakyat Malaysia mengungkap kata syabas dan terus menyokong produksi tempatan sekiranya sesebuah karya itu dihasilkan dengan begitu kreatif dan tidak klise seperti yang sedia ada.

Baru-baru ini, warga net dilihat rancak membicarakan tentang kualiti sebuah drama tempatan yang disifatkan bermutu tinggi.

Drama ‘Si Jantung Hati’ yang kini bersiaran di televisyen nyata menarik perhatian khalayak bukan hanya kerana jalan penceritaannya yang unik, malah ada babak yang dipertontonkan setanding drama luar negara.

Perkara itu susulan tular di media sosial satu daripada babak drama tersebut yang memaparkan suasana dalam bilik pembedahan.

Menariknya, paparan seorang doktor memegang organ jantung yang berdegup dalam bilik pembedahan itu membuatkan rata-rata penonton beranggapan kru produksi drama Si Jantung Hati layak menerima kredit.

Manakan tidak, video babak itu dibandingkan dengan satu babak drama Korea yang turut melalukan operasi pembedahan namun hanya menampakkan kesan darah dan jahitan pada tubuh pesakit semata.

Menjengah ruangan komen pada video babak yang tular di Facebook itu, netizen memuji kualiti drama berkenaan.

Good job writer dan pengarah! Takpe sikit-sikit macam ini pun okay sangat dah, even small improvement matters! Respect sebab dorang ada buat rujukan dengan pihak hospital dan jabatan agama perihal hukum jantung babi guna dalam badan manusia. 10 tahun lagi boleh dah kita saing-saing Kdrama walaupun time itu Kdrama dah ke depan buat drama dekat Marikh. Keep up the good work,” komen warga net.

“Ok, ada improvement. Itu yang kita mahu,” ungkap netizen.

“Wow! Drama melayu lagi next level. Bravo!” puji pengguna Facebook.

Untuk makluman, drama Si Jantung Hati mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Amir berusia 23 tahun menerima berita buruk apabila jantungnya perlu digantikan segera atau dia akan mati.

Akibat terdesak dan mahu menangguh kematian, Amir mengambil keputusan untuk melakukan pemindahan jantung babi yang diperoleh melalui kawan lamanya.

 

Author

Pilihan Editor