KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia digesa untuk mengadakan sesi dialog bagi mewujudkan takrifan Penindasan Transnasional (TR) yang jelas kepada masyarakat Burma di negara ini.
Peguam bela Pertubuhan Etnik Myanmar (MEO), James Bawi Thang Bik berkata, perkara itu penting bagi memastikan mekanisme keselamatan dapat dilaksanakan untuk aktivis serta individu yang menentang junta tentera Myanmar.
Menurutnya, sejak percubaan rampasan kuasa pada Februari 2021, keganasan junta Myanmar sudah pun mengorbankan ribuan orang awam manakala lebih ramai lagi dikhuatiri akan ditahan di negara itu.
Lebih membimbangkan, katanya, usaha junta Myanmar untuk menindas pembangkang yang menentang mereka semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Malah, dedahnya, keganasan itu juga mula mengancam masyarakat Burma di Malaysia.
“Individu yang menentang mereka (tentera) atas rampasan kuasa telah melarikan diri dari Myanmar untuk mencari suaka.
“Oleh itu, aktivitis politik dan hak asasi manusia serta mereka yang terlibat dalam Pergerakan Ketidaktaatan Sivil (CDM) terdedah dengan TN oleh junta Myanmar.
“Mereka terus berdepan dengan risiko bahaya, meskipun berada di luar negara,” katanya menerusi satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina di sini pada Jumaat.
Majlis sama turut dihadiri Pengarah Eksekutif NGO hak asasi manusia Malaysia, North-South Initiative, Adrian Pereira; Pengasas Manushya Foundation, Emilie Palamy Pradchit; serta beberapa aktivis dan pelarian Myanmar.
Mengulas lanjut, Thang Bik berkata, pihak tentera juga bertindak mengeluarkan perintah kerahan tenaga atau dikenali sebagai undang-undang Perkhidmatan Ketenteraan Rakyat.
Menerusi peintah itu, seramai 60,000 lelaki dan wanita akan dipanggil ke perkhidmatan ketenteraan mandatori pada setiap tahun.
Kongsinya lagi, visa individu yang bekerja atau melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak akan diperbaharui mulai pertengahan April tahun ini, bagi memastikan mereka kembali dalam perkhidmatan tentera.
“Perintah ini sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa insiden TN boleh meningkat secara mendadak dan memaksa aktivis serta mereka yang menentang tentera menghadapi masalah serius.
“Tindakan tentera Myanmar untuk mengintai, menculik, membunuh atau memaksa mangsa pulang ke negara itu dan menakut-nakutkan ahli keluarga adalah haram.
“Amalan TR yang dibuat oleh tentera Myanmar adalah satu kebiasaan, manakala usaha mereka untuk menumpaskan pembangkang mungkin berkembang kerana ia terus kehilangan kawalan kuasa.
“Walaupun Malaysia belum meratifikasi Konvensyen Pelarian, ia sepatutnya melindungi pelarian di bawah undang-undang adat antarabangsa dan di bawah konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang telah ditandatanganinya,” katanya.
Pada 4 Julai 2023, aktivis terkenal, Thuzar Maung dan ahli keluarganya dilapor diculik dari kediamannya di Kuala Lumpur.
Difahamkan, pihak polis mula melancarkan siasatan terhadap kehilangan aktivis itu pada 18 Julai 2023.
Pada 25 Julai 2023, masyarakat Burma dilapor meminta maklumat kehilangan Maung sekeluarga daripada Muhammad Zakwan Mustafa Kamal, yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Namun, setakat ini, polis tidak memberi sebarang maklumat terkini mengenai kes itu kepada orang ramai mahu pun masyarakat Burma.
“Sebagai aktivis, kami berasa terdedah dengan bahaya dan berasa tidak mendapat sokongan. Kami hidup dalam ketakutan dan khuatir berdepan nasib sama seperti Maung,” ujar Thang Bik kesal.