KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat pengumuman berkenaan isu elaun tugas atas panggilan (on-call) untuk doktor perubatan dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM telah meneliti serta memperhalusi isu itu yang kali terakhir disemak pada tahun 2012, lapor Kosmo!.
“Kami telah berbincang mengenai isu tersebut dan saya sudah lihat penyelesaiannya. Pengumuman bakal dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan sedikit masa lagi,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati Sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Komune Living & Wellness, Bandar Tun Razak, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan KKM mengumumkan ia akan mengekalkan elaun semasa tugas atas panggilan untuk doktor kerana ia dianggap mencukupi berikutan elaun sedia ada yang disediakan.
Ini termasuk RM750 sebulan untuk insentif perkhidmatan kritikal; bayaran insentif pakar (RM2,200 hingga RM3,100 sebulan, bergantung kepada gred) dan elaun pegawai perubatan yang bertugas selepas waktu pejabat di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital (RM80 sejam).