HomeGlobalKapal angkasa AS mendarat semula di Bulan selepas 1972

Kapal angkasa AS mendarat semula di Bulan selepas 1972

 

PESAWAT pendarat Odysseus yang direka oleh syarikat aeroangkasa swasta Intuitive Machines telah menjadi kapal angkasa buatan Amerika Syarikat (AS) pertama yang mendarat di Bulan sejak 1972. Ia telah dilancarkan dari roket SpaceX Falcon 9 pada 15 Februari.

“Tidak syak lagi, peralatan kami berada di permukaan Bulan, dan kami sedang berkomunikasi,” kata pengasas bersama Intuitive Machines, Tim Crain semasa siaran langsung.

“Hari ini buat kali pertama dalam lebih setengah abad, AS telah kembali ke Bulan,” kata Pentadbir NASA, Bill Nelson sejurus selepas pendarat setinggi 14 kaki itu berjaya mencecah permukaan bulan. “Hari ini adalah hari yang menunjukkan kuasa dan janji perkongsian komersial NASA.”

Semasa mengorbit Bulan, Odysseus merakam gambar kawah Bel’kovich, lapor RT.

Pesawat pendarat itu mengandungi enam peranti penyelidikan NASA, termasuk peralatan untuk menganalisis tanah bulan dan plasma elektron.

Odysseus juga membawa karya artis Amerika, Jeff Koons – kotak lutsinar dengan 125 arca bulat keluli tahan karat yang mewakili fasa Bulan.

AS berhenti menghantar kapal angkasa di Bulan selepas misi Apollo 17 berakhir pada Disember 1972.

Bulan lalu, NASA mengumumkan bahawa misi Artemis IInya – penerbangan lunar berkru – telah ditangguhkan sehingga September 2025.

Kepulangan angkasawan di Bulan kini dijangka pada September 2026.

Author

Pilihan Editor