HomeBeritaKekalkan keistimewaan penjawat awam di IJN - Cuepacs

Kekalkan keistimewaan penjawat awam di IJN – Cuepacs

CYBERJAYA: Kerajaan perlu mengekalkan keistimewaan sedia ada yang diterima oleh penjawat awam semasa berkhidmat atau selepas persaraan, terutama dalam hal melibatkan penerimaan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat membangkitkan perkara itu selepas bimbang dengan situasi semasa yang berlaku, terutama dalam hal melibatkan pesakit-pesakit jantung dalam kalangan penjawat awam dan pesara yang dikeluarkan daripada institut jantung berkenaan.

Beliau berkata, meskipun Kementerian Kesihatan (KKM) sudah pun memberi maklum balas bahawa kes tersebut melibatkan pesakit yang sudah stabil, namun kerajaan wajar membenarkan pesakit sedia ada di IJN kekal untuk mendapatkan rawatan terbaik tanpa perlu mengeluarkan atau merujuk semula mereka ke hospital milik KKM.

“KKM sendiri memaklumkan mereka telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN bertujuan untuk mengurangkan ‘kesesakan dan masa menunggu yang lama’ di Pusat Jantung milik KKM,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, portal Code Blue yang ditulis oleh seorang pesara penjawat awam mendakwa bahawa, dia diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, tindakan mengeluarkan pesakit sedia ada di IJN hanya akan menyebabkan kesesakan dan masa menunggu lama di Pusat Jantung KKM, yang sememangnya sudah mempunyai pesakit sedia ada.

Adnan berkata, langkah tersebut juga mengakibatkan pesakit yang dikeluarkan daripada IJN terpaksa menunggu giliran lebih lama untuk dirawat, memandangkan rekod semasa mereka di hospital lain masih baharu dan perlu memberi ruang kepada pesakit sedia ada.

Katanya, sekiranya perkara itu terus berlaku, pihaknya bimbang kebajikan penjawat awam dan pesara akan diabaikan terutama dalam mendapatkan rawatan yang terbaik apabila mereka tidak sihat.

“Suatu mekanisme atau pendekatan lain boleh diambil oleh kerajaan sekiranya kos perbelanjaan yang menjadi punca utama permasalahan ini berlaku.

“Alasan penjimatan tidak seharusnya dijadikan asas dalam soal pemotongan perbelanjaan berkaitan penjagaan kesihatan kerana ia adalah keutamaan kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam dan pesara.

“Pemotongan kos untuk langkah penjimatan harus disasarkan kepada program ‘ad hoc‘ lain yang tidak mempunyai keutamaan di semua peringkat kerajaan dan bukannya melibatkan perkara berkaitan keperluan asas rakyat,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan bahawa, IJN dan KKM telah pun mempunyai hubungan kerja yang baik, walaupun selepas pengkorporatan IJN.

Menurut beliau, sejak sekian lama, KKM telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN dan terutamanya untuk mengurangkan ‘kesesakan dan masa menunggu yang lama’  di Pusat Jantung KKM.

Jelasnya, KKM mempunyai 10 hospital yang mempunyai Perkhidmatan Kardiologi dan tujuh lagi termasuk mempunyai Perkhidmatan Surgeri Kardiotorasik.

“KKM membayar kepada IJN untuk setiap pesakit yang dirujuk ke lJN, menggunakan pembiayaan tahunan persekutuan yang diterima daripada Kementerian Kewangan (MOF). Oleh itu, untuk memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke lJN, pesakit dibenarkan discaj apabila keadaan mereka stabil ke pusat-pusat jantung KKM yang lain,” katanya.

Author

Pilihan Editor