HomeBeritaKerajaan kaji tempoh sah laku pasport sehingga 10 tahun

Kerajaan kaji tempoh sah laku pasport sehingga 10 tahun

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang melakukan kajian untuk memanjangkan tempoh sah laku pasport Malaysia kepada 10 tahun berbanding lima tahun ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemanjangan tempoh pasport itu sudah pun dilaksanakan oleh beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Itali, Perancis dan Amerika syarikat (AS).

“Jabatan Imigresen (JIM) sedang dalam proses melakukan kajian bagi memperkenalkan (tempoh sah laku) pasport bagi tempoh 10 tahun sebab sekarang kita hanya lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury, di sini pada Isnin.

Turut hadir pada majlis sama adalah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Saifuddin (kiri) dan Ruslin (kanan) ketika menyempurnakan perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury, di Putrajaya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kajian berkenaan akan dibuat dalam tempoh munasabah, sebelum keputusan dasar dimuktamadkan mengenai keperluan sama ada dikekalkan kepada lima tahun atau dipanjangkan kepada 10 tahun.

“Sama ada kita kekal lima tahun, tujuh tahun atau ke arah 10 tahun, semuanya sedang dalam kajian.

“Kita ambil kira semua perkara, maklum balas dari orang awam dan pemegang taruh,” jelasnya.

Saifuddin (dua dari kiri) beramah mesra bersama kakitangan Jabatan Imigresen (JIM), ketika melakukan lawatan pada hari perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury, di Putrajaya pada Isnin.

Tempoh sah laku pasport Malaysia ketika ini adalah lima tahun dari tarikh ia dikeluarkan.

Isu mengenai pemanjangan tempoh sah laku pasport negara ini sudah pun dibangkitkan oleh segelintir pihak sebelum ini.

Saifuddin (kanan) bergambar bersama salah seorang pemegang pasport ketika hari perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury, di Putrajaya pada Isnin.

Ia antara lain Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Ajeet Singh Gurbax yang menyarankan tempoh sah laku pasport dipanjangkan daripada lima hingga 10 tahun dengan kadar bayaran sewajarnya.

Beliau dilapor berkata, lebih 100 negara di dunia sudah pun memperkenalkan pasport antarabangsa yang mana tempoh sah lakunya adalah 18 tahun.

Saifuddin (tiga dari kiri) berucap ketika sidang media selepas merasmikan pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury, di Putrajaya pada Isnin.

 

Author

Pilihan Editor