HomeBeritaKerenah tak selari gelaran YB punca wakil rakyat diambil tindakan tegas -...

Kerenah tak selari gelaran YB punca wakil rakyat diambil tindakan tegas – Penganalisis

CYBERJAYA: Pemerhatian Yang di-Pertuan Agong terhadap tingkah laku dan kerenah segelintir wakil rakyat yang tidak selari dengan gelaran Yang Berhormat (YB), menyebabkan mereka dititahkan untuk diambil tindakan tegas ketika bersidang.

Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir berpandangan, tingkah laku berkenaan dilihat bukan sahaja melanggar peraturan perbahasan Dewan Rakyat, malah turut memberi gambaran jelik kepada rakyat secara keseluruhannya.

Jeniri Amir -Foto: Astro Awani

Beliau menyifatkan bahawa, Dewan Rakyat umpama dijadikan pentas buat segelintir wakil rakyat untuk memperagakan lakonan, sedangkan gelaran YB yang diterima sewajarnya dijaga.

Katanya, mereka juga sepatutnya memelihara tingkah laku dan kata-kata, selain bersikap profesional dan berdebat bersandarkan data, fakta serta hujahan konkrit.

“Selain itu, mereka sepatutnya mengemukakan idea dan cadangan yang konkrit untuk memperbaiki segala dasar dan akta yang dibahaskan. Namun, mereka sebaliknya menggunakan sesi berkenaan untuk menyerang dan menjatuhkan maruah orang lain.

“Mereka gunakan kata-kata terbiasa dengan kata-kata kesat, yang jelas tidak menggambarkan kedudukan mereka sebagai YB. Sebagai akibatnya, rakyat mempunyai tanggapan negatif terhadap mereka.

“Dalam konteks ini, nasihat dan titah Yang di-Pertuan Agong adalah amat tegas dan harus dipatuhi mereka demi memelihara nama baik institusi dan nama baik mereka sebagai wakil rakyat yang sentiasa dinilai oleh rakyat pada keseluruhannya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong memberikan lampu hijau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara, untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara yang melampaui batas ketika bersidang.

Seri Paduka Baginda dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bertitah, tindakan itu termasuk mengenakan penggantungan selama 14 hari kepada Ahli Parlimen yang terlibat, jika mereka masih berdegil.

Teguran Yang di-Pertuan Agong sebagai peringatan

Syed Agil -Foto: Utusan TV

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, teguran Yang di-Pertuan Agong seharusnya dijadikan peringatan dan bukannya dianggap sebagai hukuman kepada wakil rakyat yang melanggar etika di Dewan Rakyat.

Jelasnya, titah itu dibuat berikutan Yang di-Pertuan Agong memahukan martabat dan keunggulan peranan Dewan Rakyat kembali dihormati serta diagungi rakyat.

“Niat baginda agar kemuliaan Dewan Rakyat dapat dilestarikan supaya ia terus dihormati dan dibanggakan oleh rakyat, sebagai bukan tempat caci maki dan
pertelagahan politik yang merugikan negara.

“Dewan Rakyat seharusnya menjadi medan perdebatan kepada isu perundangan semasa negara serta menjadi platform utama dalam menyelesaikan masalah rakyat dan negara,” ujarnya.

Didik wakil rakyat berbahas matang

Rusdi Omar

Turut bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Prof Dr Rusdi Omar berpendapat bahawa ia bertujuan mendidik wakil rakyat supaya berbahas secara matang dan tertib ketika sebarang persidangan.

Penganalisis politik itu turut menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa, titah tersebut bakal menyekat kebebasan bersuara.

Sebaliknya, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara haruslah melakukan keputusan bijak dan tidak memihak kepada mana-mana pihak tidak kira terhadap blok kerajaan mahu pun blok pembangkang.

“Mereka perlulah berdebat atau berbahas secara berfakta. Yang terpekik dan melolong hanyalah wakil rakyat yang berbahas tanpa fakta,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor