SEORANG wanita menzahirkan rasa syukur kerana dapat memiliki semula duit not RM50 tinggalan arwah bapanya pada empat tahun lalu.
Nur Hidayah Mohamad, terkejut ketika melihat perkongsian yang tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang mencari pemilik not RM50 tersebut.
Susulan daripada itu, Hidayah tekad untuk menghantar mesej kepada individu berkenaan dan tidak membuang masa untuk mencari individu tersebut yang dikenali sebagai Azfarul.
Berkat kesungguhan itu, dia akhirnya berjaya mendapatkan not RM50 itu kembali.
Ujarnya lagi, wang itu mempunyai makna penting buat dirinya kerana itu kali terakhir dia menerima wang daripada arwah ayahnya yang meninggal dunia pada tahun 2020 akibat sakit buah pinggang.
Keadaan yang terdesak selepas kematian bapanya menyebabkan dia terpaksa menggunakan wang tersebut kerana pada masa itu hanya wang itu sahaja yang ada bagi kelangsungan hidup.