KURANG lagi sebulan menandakan umat Islam bakal menyambut kemeriahan Ramadan yang dinanti-nantikan pada setiap tahun.
Ketika ini, bulan Syaaban yang perlu ditempuh dilihat menjadi detik-detik terakhir buat golongan Muslim untuk membiasakan diri berpuasa, termasuk puasa sunat dan puasa ganti sebelum ketibaan Ramadan.
Namun, pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan bahawa, terdapat hadis yang melarang untuk seseorang berpuasa pada 15 hari terakhir bulan Syaaban.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaaban maka janganlah kalian berpuasa.” – HR Abu Daud
“Apabila tiba pertengahan bulan Syaaban, maka tidak ada puasa sehingga datangnya bulan Ramadan.” – HR Abu Daud
Menurutnya Ustazah Asma’, pendapat tersebut dikuatkan lagi dengan hujah Habib Hassan Al Kaff dalam kitab Taqrirat Sadidah, yang menyatakan bahawa berpuasa pada setengah akhir di bulan Syaaban bermula 16 hari bulan sehingga akhir bulan adalah dilarang dan tidak sah.
Jelasnya, hikmah larangan berpuasa pada bulan tersebut adalah supaya umat Islam mempersiapkan diri sebelum menempuh bulan Ramadan.
“Di mana pada bulan tersebut (Ramadan), difardhukan bagi setiap orang Islam yang mukallaf untuk berpuasa sebulan penuh,” katanya.
Pada masa sama, Ustazah Asma’ berkata, menerusi perbincangan lain yang dibahaskan, terdapat tiga golongan terkecuali atau dibenarkan untuk berpuasa selepas 15 Syaaban.
Katanya, golongan pertama yang dikecualikan adalah sekiranya seseorang melaksanakan puasa wajib seperti qada’, kaffarah atau nazar.
“Golongan kedua adalah jika seseorang sudah membiasakan dirinya untuk berpuasa sebelum ini seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis.
“Golongan seterusnya adalah sekiranya seseorang baru mula berpuasa pada 15 Syaaban, yang mana sebelum ini tidak pernah berpuasa. Maka, golongan ini dibenarkan untuk berpuasa pada setengah Syaaban yang kedua,” jelasnya.