KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan jualan sebanyak RM35 juta bagi melatih usahawan mikro, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam program eUsahawan tahun ini.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, eUsahawan sudah pun melatih seramai 563,543 usahawan di seluruh negara dengan jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion sejak ia diwujudkan pada 2015.
“Antara tiga sektor utama yang menyumbang kepada jualan terkumpul adalah sektor makanan dan minuman sebanyak 40 peratus, kecantikan dan kesihatan iaitu 25 peratus serta gaya hidup dan pakaian sebanyak 15 peratus,” katanya.
Sokongan Gobind terhadap MDEC itu dibuat ketika berucap merasmikan Karnival eUsahawan dan Gig 2024 anjuran MDEC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa lalu.
Selain itu, MDEC turut menyediakan beberapa latihan dan kemahiran khusus, termasuk pembinaan 100 hab baharu di lokasi strategik seperti universiti serta pusat komuniti.
Menerusi hab ini, usahawan tempatan berpeluang mendapat pendedahan mengenai teknik pemasaran digital.
Malah, penganjuran program Global Online Workforce (GLOW) akan memastikan kira-kira 5,000 pelajar IPT memperoleh kemahiran digital, untuk mendapatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi di platform pekerjaan gig serantau.
Untuk rekod, MDEC membantu seramai 105,390 peserta dan menjana pendapatan sehingga RM282.76 juta setakat akhir tahun lalu menerusi GLOW.
GLOW yang dilaksanakan MDEC sejak 2016 bertujuan mengasah kemahiran dan pengetahuan rakyat.
Ini termasuk mereka yang diberhentikan kerja, dipotong gaji dan graduan yang menganggur sehingga akhirnya berjaya menjadi freelancer atau pekerja bebas digital di platform tempatan dan antarabangsa.