HomeBeritaNajib bakal mohon pengampunan kali kedua

Najib bakal mohon pengampunan kali kedua

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa tidak terlalu gembira dengan keputusan beliau tidak mendapat pengampunan penuh terhadap hukuman penjara dan denda yang sedang dihadapinya.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu akan mempertimbangkan untuk membuat permohonan pengampunan kali kedua, berhubung kes membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, permohonan itu juga dibuat berikutan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.

Muhammad Shafee memaklumkan, anak guamnya akan mengemukakan permohonan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Yang di-Pertuan Agong terkini.

“Kami sedang menunggu arahan daripada anak guam saya untuk membuat permohonan terbaharu.

“Sudah tentu saya tidak mahu terlalu cepat kerana Yang di-Pertuan Agong baru dilantik, jadi itu adalah satu kriteria.

“Dan kriteria lain ialah saya mahu menunggu arahan anak guam saya untuk mempertimbangkan amalan lain,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Muhammad Shafee mendakwa, pihaknya mempunyai hujah yang mencukupi, termasuk beberapa hujah baharu untuk menguatkan permohonan tersebut.

Jumaat lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan, Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

 

 

Author

Pilihan Editor