HomeBeritaNajib dibebaskan pada 23 Ogos 2028 - Lembaga Pengampunan

Najib dibebaskan pada 23 Ogos 2028 – Lembaga Pengampunan

CYBERJAYA: Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan denda yang perlu dibayar.

Menurut Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

“Dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Datuk Seri Najib akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Lembaga Pengampunan itu memaklumkan, pihaknya telah bersidang pada 29 Januari lalu dan sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan.

Katanya, persidangan itu dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau juga didakwa dengan tiga pertuduhan setiap satu pelanggaran jenayah kepercayaan dan salah guna kuasa berkenaan dengan RM42 juta dana SRC.

Sebelum ini, khabar angin yang berlegar-legar di media sosial mendakwa, nasib Najib sudah diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.

Media Singapura, Channel News Asia (CNA) sebelum ini melaporkan, hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib atas pertuduhan rasuah, dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya pada Isnin lalu.

Dengan memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, CNA mendakwa, keputusan Lembaga Pengampunan yang diketuai Yang di-Pertuan Agong ketika itu juga termasuk pengurangan denda RM210 juta kepada jumlah yang tidak ditentukan.

Menurut tiga sumber berasingan yang bercakap dengan syarat kerahsiaan ketat itu, pengampunan separa diraja atas pembabitannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dibuat selepas menjalani hukuman penjara kurang dua tahun.

Selain itu, pengurangan tempoh hukuman itu bermakna Najib dijangka menyelesaikan hukumannya pada Ogos 2028.

Author

Pilihan Editor