TAPAH: Sekumpulan pekerja Indonesia memberi makanan dan minuman kepada 13 tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor pada Khamis lalu, sebelum melaporkan kepada Jabatan Imigresen.
Warganegara Indonesia, Ali Manto, 42, dia dan rakan-rakan melihat tahanan Rohingya itu cuba mendapatkan perlindungan di rumah ladang jambu dekat Kampung Senta, petang kelmarin.
Katanya, mereka dalam keadaan lesu dan kelaparan, lapor Berita Harian.
“Kami terus memberi roti dan air. Kami yakin mereka tahanan yang dilaporkan melarikan diri dari depot.
“Kami biar mereka makan dahulu, sebelum melaporkan kepada imigresen,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ali bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran sejak 10 tahun lalu.
Seorang lagi pekerja dikenali sebagai John, 30, pula berkata, pada awalnya tahanan terbabit cuba menipu dengan mengaku sebagai pekerja ladang yang melarikan diri kerana ditipu oleh majikan.
Katanya, dia sudah mengetahui melalui media massa dan penduduk setempat terdapat tahanan dari depot berkenaan melarikan diri
“Mereka tidak banyak bercakap. Mereka kata sudah dua hari tidur dalam hutan,” katanya.
Dalam kejadian malam Khamis lalu, seramai 131 tahanan dilaporkan bolos dari blok lelaki depot berkenaan.