HomeBeritaPelajar lelaki wajar ambil peduli tentang haid

Pelajar lelaki wajar ambil peduli tentang haid

CYBERJAYA: Para pelajar termasuklah pelajar lelaki sewajarnya diberikan pendedahan tentang haid.

Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif sedemikian penting dalam menoktahkan stigma yang sekian lama menyelubungi masyarakat berhubung haid.

Justeru, baru-baru ini pelajar sekolah menengah di Kuching, Sarawak dibawa untuk menyertai program kesedaran haid.

“Ini kali pertama kita menganjurkan program kesedaran haid dengan pelajar lelaki. Kita akan teruskannya dalam program lain seluruh negara. Penyertaan pelajar lelaki penting dalam usaha kita mengikis stigma mengenai haid.

“Ini membantu mereka memahami sebab rakan perempuan mereka sakit perut atau tidak datang sekolah ketika mengalami haid,” katanya memetik Kosmo pada Jumaat.

Nancy berkata demikian pada Majlis pelancaran Program Kasih Remaja Kotex #SheCan Project di Hikmah Exchange, Kuching baru-baru ini.

Seramai 1,000 pelajar sekolah sekitar Kuching dengan 300 daripadanya pelajar lelaki menyertai program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan serta Kimberly-Clark itu.

Tambah Nancy, menerusi program itu, seramai 600,000 pelajar sekolah wanita di seluruh negara diperkasa dengan akses kepada alat kebersihan haid yang sesuai.

Menurutnya, para pelajar turut didedahkan dengan pendidikan tentang kesihatan reproduktif.

“Ini bukan hanya soal sanitasi, tetapi berkaitan maruah, keyakinan, dan potensi penuh mereka.

“Kami juga mengambil inisiatif untuk memperkasakan pelajar lelaki dengan pengetahuan dan kesedaran tentang isu haid. Ini adalah langkah penting dalam membentuk generasi yang lebih empati dan memahami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nancy menyatakan Laporan Kajian Status Pengurusan Haid yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) tahun lalu mendapati, sebanyak 9.9 peratus daripada 130,000 pelajar perempuan mempunyai masalah mendapatkan produk pengurusan haid.

Susulan itu katanya, peruntukan sebanyak RM5.3 juta disediakan KPWKM bagi menjayakan program membantu pelajar yang menghadapi masalah berkenaan.

 

Author

Pilihan Editor