JEMPOL: Tidak hanya selamba meminum arak di hadapan ibu, isteri dan anaknya, seorang pemandu lori turut bertindak kurang ajar menyembur air arak ke kepala ibunya.
Dalam kejadian jam 8 malam Isnin, suspek yang menetap di Felda Palong Dua di sini, turut menggugut mahu mencederakan keluarganya itu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 36 tahun bekerja sebagai pemandu lori.
Katanya, berdasarkan keterangan ibu suspek, anaknya itu mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika dia dan menantu berada di dalam bilik.
“Suspek kemudian masuk ke dalam bilik sambil membawa botol arak dan meminumnya.
“Suspek turut bertindak menyembur air arak yang diminum ke arah kepala ibunya. Tindakan itu dihalang isteri suspek,” katanya.
Menurutnya, wanita itu kemudian mengunci pintu bilik sebelum suspek menggugut mahu mencederakan mereka menggunakan pisau dan parang, lapor Harian Metro.
Hoo berkata, susulan laporan polis diterima, suspek berusia 36 tahun ditahan polis dan direman sehingga esok.
“Tiada senjata yang dirampas berikutan kesemua mangsa hanya mendengar ugutan suspek dan tidak nampak senjata dibawa. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.