SHAH ALAM: Seorang pemandu lori ditahan selepas dipercayai menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium dekat Setia Alam, di sini pada Rabu malam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam pada jam 10.02 malam.
Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa merupakan seorang wanita warga Thailand berusia 32 tahun dan tidak bekerja ditemui meninggal dunia di tingkat tujuh kondominium terbabit.
“Saksi kejadian mendakwa telah terdengar pergaduhan sebelum melihat suspek menolak mangsa dari tingkat 23,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, suspek seorang lelaki India berusia 37 tahun telah ditahan di lokasi kejadian pada jam 10.10 malam.
Katanya lagi, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah.
“Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis kanabis dan akan direman di Mahkamah Shah Alam pada jam 9 pagi,” ujarnya sambil menambah bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Muhammad Khairi Kamaruddin di talian 012-2666025.