KLANG: Sebuah pesawat ringan disahkan terhempas sekitar kawasan kebun kelapa sawit, Kampung Tok Muda, dekat Kapar, di sini pada Selasa.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.56 petang .
Menurutnya, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar sudah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota yang diketuai Komander Operasi Ahmad Fuad Nasrudin Johari mendapati memang benar berlakunya kejadian tersebut.
“Kerja-kerja mencari mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira 1.30 petang manakala jumlah mangsa yang terlibat masih belum diketahui.
Video memaparkan kejadian berkenaan turut tular di media sosial.
Pesawat ringan dipercayai jenis Blackshape Gabriel itu merupakan milik syarikat Aviation Safety Technology (AST).
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor mengesahkan kejadian itu manakala siasatan sedang dijalankan.
Pihaknya juga dipercayai akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.