HomeBeritaSempadan Selangor – Kuala Lumpur dimuktamadkan pada 2025

Sempadan Selangor – Kuala Lumpur dimuktamadkan pada 2025

CYBERJAYA: Persempadanan kawasan antara Selangor dan Kuala Lumpur akan dimuktamadkan pada tahun 2025.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persempadanan ini penting termasuk dari segi pembayaran cukai, penguatkuasaan dan penyelenggaran utiliti antara kedua-dua negeri.

Namun, beliau mengakui persempadanan itu adalah rumit kerana membabitkan premis dan kawasan yang telah tepu bina berbanding kawasan hutan dan pertanian seperti yang pernah ditandatangani bersama Pahang dan Negeri Sembilan sebelum ini.

“Sekarang ini telah bercantum di antara kedua-duanya (Selangor dan Kuala Lumpur). Kalau kita lihat Cheras, ada yang menanyakan Cheras mana sama ada Kuala Lumpur atau Kajang (Selangor) dan orang keliru. Jadi lebih baik persempadanan dibuat bagi menyelesaikan interest between two states.

“Setakat ini,kita sebanyak 19 lokaliti telah dibincangkan dalam persempadanan berkenaan termasuk Gombak, Ampang dan Hulu Langat. Namun, mungkin ada dua atau tiga lagi lokaliti,” katanya memetik Kosmo hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut menjelaskan, kedua-dua negeri akan bergantung kepada penjanjian lama seperti Penjanjian Penyerahan Kuala Lumpur dan Penyerahan Wilayah Persekutuan selain beberapa penjanjian persetujuan yang lain.

“Dulu tiada ukur tentu halus dan sekarang ini perlu ditetapkan sebetulnya supaya sah dan tepat. InsyaAllah, kedaulatan setiap tapak dan inci bagi tanah di kedua tempat akan dipelihara.

“Sebelum ini, kita telah tandatangani dua memorandum persefahaman (MoU). Sebelum MoU ketiga ditandatangani, kita akan bawa (isu persempadanan) kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi pihak negeri Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan persempadanan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kawasan Pilihan Raya.

Author

Pilihan Editor