SEORANG wanita dipecat pada hari pertama bekerja gara-gara terlewat tiba hampir satu jam ke tempat kerjanya.
Damita Jomama yang berasal dari Arkansas itu mengatakan bahawa dia digelar penipu oleh kakitangan syarikat ambulans itu dek kerana kelewatan berkenaan, lapor portal Unilad.
Menurutnya, punca utama yang menyebabkan dia lewat tiba di pejabat kerana terperangkap di jalan raya yang bersalji tebal meskipun memandu kenderaan utiliti sukan (SUV).
Sejurus tiba di syarikat tempat kerjanya itu, dia berjumpa dengan seorang kakitangan yang berkata: “Anda lewat. Mengapa anda tidak boleh tiba lebih awal?”
Susulan itu, dia dipanggil menghadiri satu mesyuarat dan diberitahu pihak syarikat tidak dapat meneruskan pengambilannya untuk bekerja.
Keputusan itu membuatkan JoMama terkejut dan menyifatkan syarikat berkenaan tiada toleransi meskipun dia telah memberikan sebab kelewatannya tiba di syarikat tersebut.