HomeBeritaTak puas hati urusan beli kucing, 2 lelaki samun pemuda di Bandar...

Tak puas hati urusan beli kucing, 2 lelaki samun pemuda di Bandar Utama

PETALING JAYA: Dua lelaki tempatan ditahan direman selama lima hari, selepas bertindak menyamun seorang pemuda di Bandar Utama, di sini baru-baru ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly, jenayah itu dilakukan selepas kedua-dua suspek dipercayai tidak berpuas hati terhadap mangsa atas urus niaga menjual kucing.

M Hussin berkata, pihaknya terkesan sebuah video di media sosial memaparkan kejadian samun itu, manakala hasil semakan mendapati satu laporan dibuat oleh seorang pemuda tempatan berusia 26 tahun pada Ahad.

Hasil siasatan lanjut, katanya, polis berjaya menangkap suspek dan turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Iphone 14 Pro Max, dua ekor anak kucing jenis British Short Hair dan Munchkin, dua beg kucing serta dua kunci kereta dipercayai digunakan ketika kegiatan samun.

“Suspek berusia 27 tahun mempunyai satu rekod lampau, manakala seorang lagi berusia 29 tahun mempunyai empat rekod lampau,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman mulai Isnin hingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dilengkapkan dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa.

“Kedua-duanya dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, namun kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.

Author

Pilihan Editor