HomeBeritaTersilap sebut nama Agong: Ahli Parlimen Padang Serai diarah mohon maaf

Tersilap sebut nama Agong: Ahli Parlimen Padang Serai diarah mohon maaf

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PN-Padang Serai diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka di Dewan Rakyat selepas salah menyebut nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Arahan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari kepada Datuk Azman Nasrudin.

“Pada semalam 28 Februari 2024 semasa berucap, YB (Yang Berhormat) Padang Serai telah salah menyebut nama Tuanku Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Kesalahan ini amat serius kerana ia diucapkan dalam dewan. Saya sebagai Speaker yang bertanggungjawab tidak kira sebelah kiri atau sebelah kanan mesti bertanggungjawab atas kesalahan-kesalahan yang telah YB sebut.

“Untuk itu, saya dengan ini memerintahkan YB bangun, memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya, lapor Harian Metro.

Azman kemudiannya bangun dan membuat permohonan maaf serta berikrar kekhilafan seperti itu tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

“Terlebih dahulu, saya saya ingin memohon keampunan dan kemaafan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kekhilafan dan kesilapan saya semasa menyampaikan ucapan saya petang semalam.

“…kerana telah menyebut Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.

“Sepatutnya Ke Bawah Duli Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Saya berikrar, kekhilafan seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” katanya.

Johari kemudiannya mengingatkan kepada semua Ahli Parlimen agar berhati-hati menuturkan kata-kata terutamanya membabitkan nama Yang di-Pertuan Agong.

“Untuk itu, saya harap ini menjadi pedoman kepada kita dan jangan berulang lagi,” katanya.

Author

Pilihan Editor