HomeSukanTidak lagi kemudi Selangor FC, Cheng Hoe terima tawaran kelab Thailand

Tidak lagi kemudi Selangor FC, Cheng Hoe terima tawaran kelab Thailand

SELANGOR FC berdepan cabaran hebat pada saingan musim baharu Liga Malaysia (Liga M) pada Mei depan, apabila Tan Cheng Hoe tidak lagi mengemudi pasukan tersebut.

Menurut Selangor FC, ketua jurulatih tersebut mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya secara serta-merta.

Ia selepas bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu menerima tawaran daripada sebuah kelab di Thailand.

Jelas Selangor FC, pasukan itu sudah pun dimaklumkan mengenai keputusan diambil Cheng Hoe.

Menurut Red Giants, pasukan itu juga telah pun menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak Cheng Hoe.

Maklumnya lagi, buat masa ini, penolong ketua jurulatih, Nidzam Jamil dilantik sebagai ketua jurulatih sementara.

“SFC ingin berterima kepada Tan Cheng Hoe atas usaha dan sumbangan beliau untuk kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan.

“Pada masa sama, pihak pengurusan kelab akan menjalankan proses pemilihan terperinci bagi melantik ketua jurulatih yang baharu,” katanya menerusi kenyataan.

Untuk rekod, sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe berjaya membantu SFC menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan juga naib juara Liga Super Malaysia 2023.

Ini sekali gus memastikan pasukan itu layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025.

Cheng Hoe, 55, merupakan pengendali skuad kebangsaan dari 2018 hingga 2021.

Selain itu, beliau pernah mengecapi beberapa kejayaan sepanjang karier kejurulatihan beliau seperti ketika bersama pasukan Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 dan merupakan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.

Author

Pilihan Editor