CYBERJAYA: Usaha untuk mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan diteruskan.
Menurut Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, ia dibuat sesuai dengan laras undang-undang negara di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO, yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib.
“UMNO mengambil maklum mengenai keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
MKT UMNO menegaskan, pembelaan terhadap Najib dibuat kerana beranggapan bahawa beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.
“Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan bersama-sama menjunjung semangat ini,” katanya.
Terdahulu, satu Mesyuarat Khas MKT UMNO diadakan susulan keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Mesyuarat khas itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin atasan parti.
Pada Jumaat, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan, Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun, sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.