SUBANG JAYA: Seorang wanita yang dikasari dan diseret ke dalam kolam renang oleh kekasihnya dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Taylor, dekat Bandar Sunway, di sini pada Jumaat lalu, sudah pun membuat laporan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, wanita warga asing berusia 19 tahun itu bagaimanapun enggan meneruskan kes, berikutan tidak mahu sebarang tindakan diambil terhadap teman lelakinya.
Wan Azlan berkata, pihaknya mendapati bahawa, kejadian berlaku di kawasan kolam renang kondominium tersebut pada kira-kira jam 3 petang Jumaat.
Susulan itu, katanya, mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 6.30 petang.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak mahu mendapatkan rawatan.
“Wanita terbabit juga tidak mahu meneruskan kes kerana tidak mahu sebarang tindakan diambil terhadap teman lelakinya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya kat Malaysia.
Dia nak lemaskan gf dia sebab pregnant.
Gila betoi. Tak kira attempted murder ke ni? pic.twitter.com/hwie3Y9I7j
— Dibs (@adibhazlami) February 16, 2024
Terdahulu, video tular berdurasi lebih seminit itu pada mulanya memaparkan pasangan kekasih tersebut bertengkar.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila lelaki berkenaan mula bertindak ganas dan mengasari wanita tersebut.
Lebih kejam, lelaki tersebut mengheret mangsa dan mencampak wanita itu ke dalam kolam renang kondominium tersebut sebelum cuba melemaskan mangsa.
Namun, wanita itu bernasib baik apabila dia berjaya melepaskan diri daripada cengkaman lelaki berkenaan setelah bergelut selama beberapa saat.
Melihat wanita itu cuba melawan, lelaki tersebut kemudian bertindak mengundurkan diri.