HomeBeritaMahkamah & Jenayah3 lelaki ditahan baling molotov cocktail di rumah warga emas

3 lelaki ditahan baling molotov cocktail di rumah warga emas

KULAI: Polis memberkas tiga lelaki tempatan selepas disyaki terlibat dalam insiden khianat membaling molotov cocktail ke atas sebuah rumah milik warga emas di Jalan Jelatik, dekat Taman Damai di sini pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang warga emas berusia 70 tahun pada kira-kira jam 1.50 petang.

Seng Lee berkata, lelaki warga tempatan itu mendapati ada kesan terbakar di hadapan pagar kediamannya.

“Mangsa kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua suspek menaiki motosikal, namun mangsa tidak pasti akan nombor pendaftaran motosikal itu, membaling molotov cocktail ke arah pagar rumahnya,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, antara jam 3 pagi hingga 5 pagi Khamis, pihaknya membuat dua serbuan di lokasi berasingan di kawasan Bandar Seri Alam, Johor Bahru dan berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 16 hingga 29 tahun, dipercayai terbabit dengan kes khianat itu.

“Kita turut merampas dua telefon bimbit serta pakaian suspek yang digunakan ketika melakukan perbuatan terbabit.

“Soal siasat awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku mengatur dan mengambil upah melontar molotov cocktail.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat pembabitan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah ini.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada suspek itu masing-masing mempunyai satu rekod jenayah,” katanya.

Jelasnya, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati, mereka negatif sebarang jenis dadah manakala kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini direman empat hari sehingga Ahad ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor