HomeBeritaMahkamah & Jenayah4 lelaki ditahan susulan belasah 2 murid guna paip PVC, batang besi

4 lelaki ditahan susulan belasah 2 murid guna paip PVC, batang besi

KAJANG: Polis menahan empat lelaki selepas dipercayai menyerang dua murid sekolah menengah di hadapan sebuah sekolah di Sungai Long, Kajang, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pergaduhan kira-kira pukul 3.04 petang.

Mohd Zaid berkata, dua murid telah diserang oleh 10 lelaki menggunakan paip PVC dan batang besi sebelum suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki dua buah kenderaan berbeza.

“Kedua-dua mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan di kepala serta badan akibat dipukul.

“Kejadian terbabit kemudiannya tular di laman Facebook memaparkan aksi pergaduhan selepas tamat sesi persekolahan pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, empat lelaki berusia 18 hingga 21 tahun telah berjaya ditahan di sekitar Ampang pada semalam bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek kini direman sehingga Jumaat dan punca kejadian masih di dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan polis kini giat mengesan suspek bebas.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804.

Author

Pilihan Editor