HomeBerita4 wanita lahir di Malaysia dinafi kerakyatan

4 wanita lahir di Malaysia dinafi kerakyatan

PETALING JAYA: Seramai empat wanita mendakwa dinafikan kewarganegaraan Malaysia oleh kerajaan, meskipun dilahirkan dan dibesarkan di negara ini.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Khairunnisa Ibrahim, Wiwin Handayani, Seri Mulyati dan Vanessa juga bukan merupakan warganegara di mana-mana negara lain.

Kumpulan peguam, Lawyers For Liberty (LFL) berkata, keempat-empat wanita tersebut berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia mengikut Perkara 14 (1)(b) dan Bahagian II Jadual Kedua, Seksyen 1(a) dan/atau 1(e) Perlembagaan Persekutuan.

“Keengganan kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf kewarganegaraan menyebabkan mereka berdepan cabaran besar termasuk akses terhad kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan, ketakutan berterusan ditangkap berikutan kekurangan dokumen pengenalan diri,” kata LFL dalam sidang media pada Selasa.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi LFL, Latheefa Koya; Penasihat LFL, N Surendran; dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Berikut merupakan ringkasan kes bagi keempat-empat wanita terbabit:

KES PERTAMA:

Menurut LFL, Khairunnisa dilahirkan di Hospital Bersalin Kuala Lumpur pada 13 November 1995.

Bapanya, Ibrahim Usman merupakan penduduk tetap di negara ini dan meninggal dunia pada 15 Oktober 2013, manakala ibunya, Astuti Hasan merupakan warganegara Indonesia.

Ibu bapanya bernikah dan mendaftarkan perkahwinan di Indonesia pada 28 September 1989, manakala sijil nikah mereka telah disahkan oleh Kedutaan Indonesia pada 9 Mei 2016.

Kakak sulungnya, Malahayati Sari Ibrahim merupakan warganegara Malaysia, sebaliknya Khairunnisa telah dinafikan kewarganegaraan di negara ini.

“Ini berikutan keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengiktiraf perkahwinan ibu bapanya yang telah bernikah dan didaftarkan di Indonesia sebelum kelahirannya.

“Penafian ini telah menyebabkan Khairunnisa tidak berjaya memasuki sekolah kerajaan, dilucutkan hak pendidikan serta pekerjaan yang sewajarnya.

“JPN setakat ini enggan mengesahkan kewarganegaraannya. Sehingga hari ini, dia tidak memiliki sebarang kad pengenalan.

“Berdasarkan kewarganegaraan bapanya, dia berhak mengikut kuat kuasa undang-undang kepada kewarganegaraan Malaysia mengikut Seksyen 1 (a) dan 1(e) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan,” kata LFL .

KES KEDUA:

Sementara itu, LFL berkata, Wiwin, 22, pula dilahirkan pada 24 Mac 2002 di Chaudhury Medix Centre, Off Jalan Pahang Barat, di Kuala Lumpur.

Menurut LFL, ketika wanita itu dilahirkan, bapanya merupakan pemegang kad pengenalan penduduk tetap Malaysia.

Perkahwinan ibu bapa Wiwin telah berlangsung pada 22 Ogos 1990 dan didaftarkan di Malaysia, manakala kesemua adik-beradik wanita itu memegang status kerakyatan Malaysia.

LFL berkata, meskipun terdapat cubaan beberapa kali untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia, JPN enggan mengakui sijil nikah Indonesia ibu bapa wanita tersebut.

Ini sekali gus menyebabkan wanita tersebut tidak mempunyai kewarganegaraan sehingga kini.

“Disebabkan statusnya sebagai wanita tanpa kerakyatan dengan dokumen yang tidak lengkap, Wiwin dinafikan untuk masuk ke sekolah rendah dan mula bekerja pada usia muda.

“Berdasarkan status bapanya sebagai pemastautin tetap Malaysia ketika kelahirannya, dia berhak mengikut kuat kuasa undang-undang kewarganegaraan Malaysia mengikut Seksyen 1(a) dan 1(e) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

KES KETIGA:

Bagi kes ketiga, LFL berkata, Seri Mulyati dilahirkan di Hospital Tengku Rahimah (HTAR), Klang, Selangor pada 14 September 1983.

Menurut LFL, ibu bapa Seri bernikah dan perkahwinan didaftarkan Indonesia pada 1982.

Perkahwinan itu kemudian didaftarkan di Pejabat Agama Selangor yang terletak di Klang pada 4 Disember 2018.

Bapanya, Syamsudin Osman memperoleh status pemastautin tetap pada 16 Oktober 1984, iaitu setahun selepas kelahiran Seri Mulyati dan diikuti kerakyatan Malaysia pada 2009.

Ibunya, Nurhayati Ahmad diberikan taraf pemastautin tetap pada 15 September 1983, sehari selepas kelahiran wanita itu dan kini merupakan warganegara Malaysia.

“Seri merupakan anak sulung daripada lima beradik, namun hanya dia seorang yang dinafikan kerakyatan Malaysia. Sementara itu, semua adik-beradiknya yang lain adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Pada usia 19 tahun, jelas LFL, Seri memohon kewarganegaraan Malaysia bersama bapanya, namun hanya bapanya yang diberi status berkenaan pada 2006.

Tambah LFL, meskipun berulang kali Seri cuba mendapatkan kerakyatan seawal usia 12 tahun, statusnya berhubung perkara itu masih belum selesai.

“Pembaharuan MyKAS (Kad Pengenalan Pemastautin Sementara) Seri juga ditolak dan yang terkini pada tahun 2020.

“Seri dilahirkan dan menetap di Malaysia sepanjang hayatnya, manakala semua ahli keluarganya adalah rakyat negara ini.

“Oleh itu, dia berhak melalui kuatkuasa undang-undang menuntut kewarganegaraan mengikut Seksyen 1 (e) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

KES KEEMPAT:

Menurut LFL, wanita termuda dalam senarai dikenali sebagai Vanessa, 21, dilahirkan di Poliklinik Dan Surgeri Wanita, dekat Ampang, Selangor pada 7 Jun 2003.

Bapanya, Yong Kook Yun merupakan warganegara Malaysia, manakala ibunya, Era Susmita adalah warganegara Indonesia.

Meskipun sudah beberapa kali cuba mendapatkan status kewarganegaraan Malaysia, status Vanessa telah dinafikan JPN berikutan perkahwinan ibu bapanya tidak didaftarkan.

Sama seperti kes lain, wanita itu berdepan halangan untuk mendapatkan kelayakan pendidikan sewajarnya, yang mana dia dinafikan untuk memasuki sekolah kerajaan dan hanya berjaya ke ‘home-schooling’.

“Vanessa bukan warganegara mana-mana negara lain.

“Berdasarkan kewarganegaraan Malaysia yang dimiliki bapanya, Vanessa berhak mengikut kuat kuasa undang-undang kepada kewarganegaraan Malaysia mengikut Seksyen 1(a) dan 1(e) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Author

Pilihan Editor