HomeBerita5 pasang stoking tertera kalimah Allah dirampas di Batu Pahat

5 pasang stoking tertera kalimah Allah dirampas di Batu Pahat

BATU PAHAT: Sebanyak lima pasang stoking yang tertera tulisan Allah dirampas ketika pemeriksaan di kilang Xin Jian Chang Sdn Bhd, di sini pada jam 9 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, seramai 40 anggota dari Ibu Pejabat Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Daerah Batu Pahat telah dikerahkan untuk memeriksa kilang terbabit.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu, polis telah merampas lima pasang stoking dengan tulisan Allah yang dipulangkan oleh KK Mart Sunway.

“Semasa pemeriksaan, pihak pengurusan kilang telah memberi kerjasama sepenuhnya.

“Siasatan mendapati stoking telah ditempah dari China dan pihak kilang hanya terlibat dalam membungkus dan mengedar stoking untuk pasaran.

“Setakat ini, dua cawangan KK Mart di Banday Sunway dan sebuah lagi di Sunway Mentari dikesan terlibat dalam penjualan stoking berkenaan dan telah dipulangkan kembali kepada pihak kilang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, siasatan mendapati, pihak kilang telah mengimport 16 ‘bundle’ yang berjumlah 18,800 pasang stoking.

Ismail berkata, pemeriksaan masih lagi dibuat dan sehingga kini tiada lagi stoking dengan tulisan Allah ditemui kecuali rampasan awal.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998 oleh Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman.

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat tindakan yang menyalahi undang-undang seperti perhimpunan atau demostrasi berkaitan iu ini yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Author

Pilihan Editor