CYBERJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu membangkitkan perkara tersebut susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika Bersatu baru meluluskan pindaan parti.
“Rashid melakukan ‘kamikaze’ kerana Bersatu baru pinda Perlembagaan parti. Dia tidak takut pada pindaan. Dia lebih takut kapal Bersatu yang akan karam.
“Bersatu akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti jika pindaan itu tidak terpakai sebelum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS),” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin.
Selain itu, turut tular ketika ini terdapat lima lagi wakil rakyat parti tersebut yang didakwa akan mengikut jejak langkah Abdul Rashid.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, perkembangan terbaharu itu juga memberi tempeleng maut kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan sebagai ‘poster boy‘ Bersatu di negeri berkenaan.
“Azmin kata, rakyat penat tengok gelagat ahli Parlimen dan ADUN Bersatu alih sokongan.
“Dia (Azmin) lupa, dia pernah buat rakyat penat dengan ‘Langkah Sheraton’ dan kini ‘Langkah Dubai’,” katanya.