BRIGED Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, mengumumkan pada Sabtu identiti empat tebusan Israel yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Genting Gaza.
“Kami sebelum ini mengumumkan tujuh tebusan Zionis terbunuh akibat serangan udara Zionis yang ganas di Genting Gaza dan kami mendedahkan nama tiga daripada mereka,” kata Abu Ubaida, jurucakap Briged Al-Qassam, di Telegram.
Beliau menambah bahawa selepas meneliti dan mengesahkan identiti baki empat tebusan itu, disahkan bahawa… Itzik Elgarat, Alex Dancyg, Ronen Angel dan Eliyahu Margalit telah dibunuh.
Pada 1 Mac, Briged Al-Qassam mengumumkan tujuh tebusan Israel dalam tahanannya trrbunuh dalam serangan tentera Israel selepas beberapa minggu terputus hubungan dengan kumpulan yang menawan mereka, menjadikan jumlah kematian tebusan di Genting Gaza kepada 70 orang.
Satu kenyataan kemudian mengumumkan nama tiga tebusan, termasuk Hayim Gershon Perry, Yoram Etaq Mitzger, dan Amiram Israel Kuper, dalam kedua-dua bahasa Arab dan Ibrani.
Israel menganggarkan terdapat lebih 125 tebusan di Gaza, manakala ia telah menahan sekurang-kurangnya 8,800 rakyat Palestin di penjaranya, menurut sumber rasmi kedua-dua pihak.
Israel telah melancarkan serangan ketenteraan maut di Genting Gaza sejak serangan rentas sempadan pada 7 Oktober 2023 yang diketuai oleh Hamas, di mana hampir 1,200 orang terbunuh.
Sekurang-kurangnya 30,960 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh sejak itu di Gaza, dan 72,524 yang lain cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Israel juga telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Gaza, menyebabkan penduduknya, terutamanya penduduk di utara tempat kejadian tembakan 29 Februari berlaku, berada di ambang kebuluran.
Perang Israel telah memaksa 85 peratus penduduk Gaza melarikan diri di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.