CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pertama yang mengucapkan tahniah kepada Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto, selepas diumumkan sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Rabu.
Menurut Anwar, perkara tersebut disifatkan sebagai cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesa yang amat istimewa sebagai negara tetangga yang dekat dan penting.
“Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baru selesai.
“Saya dimaklumkan saya pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau selepas pengumuman keputusan rasmi Pemilu,” katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Khamis.
Anwar turut mengucapkan selamat maju jaya serta menyatakan keyakinan bahawa, Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan berterusan dan kemakmuran Indonesia.
Tambahnya, beliau dan Prabowo juga bertekad untuk memperkukuh hubungan dua hala yang mencakup pelbagai aspek sebagai negara jiran.
“Kami juga berikrar untuk bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutamanya dalam ruang lingkup Asean,” katanya.
Pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden dan Naib Presiden 2024.
Hasil rumusan KPU menunjukkan, Prabowo-Gibran menang di 36 wilayah manakala dua lagi wilayah dimenangi pesaing mereka, pasangan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar.