HomeBeritaArtis veteran disyaki pukul abang ipar guna batang besi

Artis veteran disyaki pukul abang ipar guna batang besi

KUALA LUMPUR: Seorang artis veteran ditahan selepas disyaki memukul abang iparnya di sebuah flat Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, pada petang Ahad.

Menurut keterangan sumber, penyanyi lelaki era 80-an dan komposer itu memukul abang iparnya yang berusia 41 tahun itu menggunakan batang besi sehingga menyebabkan kecederaan.

Punca kejadian dipercayai akibat berlaku salah paham antara mangsa dan suspek.

“Suspek kemudian bertindak memukul menggunakan besi panjang di bahagian kepala, belakang badan, mata kiri dan bahagian lain mangsa.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan menerima dua jahitan, bengkak mata kiri, lebam di tangan kiri dan luka di tangan kanan,” katanya lapor Astro AWANI.

Susulan itu, menurut sumber, abang ipar kepada artis berusia 64 tahun itu telah membuat laporan polis selepas mendapatkan rawatan di hospital.

“Peserta sebuah program realiti hiburan popular itu difahamkan akan direman hari ini,” ujarnya.

Pada tahun 2010, artis veteran ini pernah terpalit kontroversi berhubung perkahwinan yang tidak direstui oleh ibu mentuanya.

Hal tersebut kerana difahamkan jarak usia antara artis veteran itu agak jauh berbanding isterinya. 

Author

Pilihan Editor