SIBU: Seorang bapa maut manakala tiga lagi anaknya cedera selepas sebuah pikap yang dinaiki empat beranak itu terbabas dan merempuh pokok di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Selasa.
Mangsa yang maut dikenali Joseph Tuah Lawrence, 35, pemandu pikap berkenaan, tiga mangsa yang cedera ialah dua anak perempuannya berusia lapan dan 12 tahun serta anak lelaki berusia empat tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 10.30 pagi.
Menurut laporan TVS, sejurus kejadian, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu digegaskan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati tiga mangsa masih tersepit di dalam kenderaan tersebut. Difahamkan seorang mangsa wanita telah tercampak keluar dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
“Pihak bomba bertindak menggunakan hydraulic rescue tools dan winch untuk kerja-kerja penstabilan, pemotongan dan membuka ruang untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Tambahnya lagi, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya diserah kepada pihak ambulans dan polis untuk tindakan lanjut.