CYBERJAYA: Selepas beberapa bulan meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman kini diterima sebagai ahli PKR.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Muhammad Faiz memaklumkan, pengesahan itu dibuat selepas beliau menghadiri majlis doa selamat dan sesi penerangan isu-isu semasa di kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ahad lalu.
Menurutnya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil yang juga bekas Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah turut menyertai parti diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
“Dengan pengumuman terbuka oleh Datuk MB dalam majlis ini, maka saya dan mantan ADUN Dengkil yang juga mantan Ketua Armada Selangor, saudara Adhif Syan telah diterima sebagai ahli PKR yang baharu. Syukur. Setelah saya tidak berparti lebih dari 6 bulan,” tulisnya pada hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, keputusan menyertai PKR itu dibuat bersama-sama rakan seperjuangan yang berjiwa marhaenis, nasionalis moderat dan pro integriti sepertimana roh asal rerformasi ketika ia mula bergema kira-kira 26 tahun lalu.
Beliau turut bertekad memperkasa perjuangan asal PKR dan matlamat cakna rakyat Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Amirudin.
“Saya juga bertekad memperkasa agenda nasional Malaysia Madani di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim yang tegas mempertahankan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan,” katanya.
Pada 7 Ogos tahun lalu, Muhammad Faiz mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu dan berhenti sebagai ahli parti tersebut.
Muhammad Faiz dilapor berkata bahawa, keputusan itu dibuat secara sukarela dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Beliau turut dilapor mendakwa, objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong, yang kononnya mahu menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada orang muda dan muka baharu terutama mempunyai latar belakang bersih.