KLANG: Cubaan dua lelaki warga asing untuk melarikan seorang kanak-kanak gagal, selepas ditahan oleh orang awam di sebuah pusat beli-belah dekat Klang Sentral, di sini pada Isnin malam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian pada kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku ketika pengadu sedang menaiki eskalator bersama adik perempuan, sambil memimpin tangan anaknya berusia setahun tujuh bulan.
Beliau berkata, dua orang lelaki yang tidak dikenali secara tiba-tiba datang dari arah belakang.
“Salah seorang suspek bertindak mengangkat anak pengadu dari arah belakang.
“Pengadu kemudian menjerit dan menarik semula anaknya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Katanya, kedua-dua suspek sudah pun mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari dari Mahkamah Klang.
“Ke disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, manakala sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan denda.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Pihak polis menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.