HomeBeritaPolitikDAP Perak kecam pihak hantar nota ugutan terhadap Kor Ming

DAP Perak kecam pihak hantar nota ugutan terhadap Kor Ming

CYBERJAYA: DAP Perak mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghantar nota ugutan terhadap Naib Pengerusi DAP Nasional, Nga Kor Ming pada Khamis.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, DAP Perak menegaskan bahawa tindakan itu secara jelas melanggar undang-undang, selain bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat yang beradab.

Justeru, DAP Perak menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan menangani kes-kes yang berbentuk ugutan tersebut.

“Pihak DAP yang menyanjung kedaulatan undang-undang berpandangan bahawa, setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyuarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bimbang akan diugut atau diserang secara fizikal.

“Oleh itu, dalam masyarakat yang demokratik dan berbilang kaum, adalah penting untuk kita menegaskan bahawa, kepelbagaian harus dihormati dan suara yang berbeza harus diterima dengan penuh keterbukaan.

“Walaupun kita mungkin berbeza pendapat dalam dasar ataupun ideal politik, namun, kita tidak sepatutnya membenarkan perbezaan itu melanggar batas-batas kesusilaan, selain boleh mengganggu-gugat anggota keluarga tersayang,” katanya.

Pada Khamis, Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, menerima nota ugutan daripada individu tidak dikenali.

Ugutan tertulis ‘Nga Kor Ming (Jangan cabar Islam)’ itu ditemui di hadapan rumah keluarga pemimpin DAP berkenaan di Ayer Tawar dekat Manjung, Perak pada sekitar jam 7.30 pagi.

Bersimpati dengan nasib menimpa Kor Ming, DAP Perak memohon semua pihak untuk mengekalkan ketenangan dan bersikap rasional bagi dalam menghadapi situasi berkenaan.

Ketika ini, katanya, semua pihak perlu mengamalkan semangat perpaduan demi memelihara keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

“Hanya melalui sikap hormat, ihsan, toleransi serta keyakinan antara satu sama lain, kita boleh membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera, mampan dan berdaya cipta,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor