HomeBeritaPolitikDewan Pemuda PAS tuntut MB junjung titah Sultan Pahang

Dewan Pemuda PAS tuntut MB junjung titah Sultan Pahang

CYBERJAYA: Dewan Pemuda PAS menuntut Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan negeri menyalurkan peruntukan kepada pembangkang secara adil dan saksama.

Ketua Pemudanya, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, langkah yang perlu dilakukan oleh Menteri Besar Pahang itu sekali gus akan mengiktiraf peranan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Beliau membangkitkan perkara itu selepas penularan beberapa video, yang memaparkan Al-Sultan Abdullah bertitah mengenai perkara tersebut ketika Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar serta Perasmian Masjid Baharu Alor Akar, di Kuantan, Pahang pada Khamis.

“Baginda menitahkan peruntukan wajar diberikan kepada pembangkang untuk salur dan agihkan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan yang mereka wakili.

“Ini jelas tuntutan yang pembangkang selama ini selaras dengan apa yang baginda Sultan Pahang titah dan harapkan.

“Peranan pembangkang perlu diiktiraf di negeri Pahang ini agar proses semak dan imbang dapat dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Menurut Mohd Zarimi, Menteri Besar Pahang dan juga barisan exco, wakil rakyat kerajaan perlu membuang sejauh-jauhnya politik lapuk dan dendam, yang selama ini diamalkan lebih 60 tahun di negeri Pahang ini secara khususnya.

“Kami juga mengingatkan Menteri Besar Pahang dan seluruh exco dan wakil rakyat daripada pihak kerajaan agar memberi hak kepada pembangkang.

“Ia sebagai mana yang tertakluk dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri dan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pembangkang dapat melaksanakan fungsi mereka sebagai wakil rakyat yang sah di kawasan mereka wakili,” tegasnya.

Jelas beliau, walaupun dalam keadaan disekat dan ditekan, wakil rakyat pembangkang di Pahang terus berkhidmat kepada rakyat.

“Sementelah jika diberikan peruntukan secara adil dan saksama semestinya akan memberi manfaat yang baik buat rakyat secara khususnya,” katanya.

Author

Pilihan Editor