HomeBeritaDoktor HRPB lapor polis isu surat layang gangguan seksual

Doktor HRPB lapor polis isu surat layang gangguan seksual

CYBERJAYA: Polis menerima laporan daripada seorang doktor lelaki yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak berhubung penyebaran surat layang di media sosial yang memburukkan namanya.

Ketua Polis Daerah Ipоh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 43 tahun itu membuat laporan tersebut pada Sabtu.

“Siasatan awal mendapati surat layang yang tersebar menuduh doktor lelaki itu dan beberapa staf yang lain melakukan perbuatan terkutuk khususnya terhadap doktor pelatih yang bekerja di Jabatan Ortopedik HRPB,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan pihak polis.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin atau fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti seseorang,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, pihaknya menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas susulan dakwaan mengenai salah laku gangguan seksual serta ugutan membabitkan kakitangan HRPB.

Sebelum itu, tular surat layang yang dimuat naik di media sosial menerusi Facebook dan laman sosial X yang meraih perhatian warganet.

Surat itu mendakwa doktor tersebut sering mengganggu doktor pelatih wanita khususnya di Jabatan Ortopedik secara seksual dan mengugut untuk memanjangkan tempoh latihan mereka.

 

Author

Pilihan Editor