CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara pada Isnin, selepas menjalani rawatan selama 53 hari.
Pejabat bekas Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan, Dr Mahathir yang dimasukkan ke IJN kerana jangkitan dibenarkan keluar pada jam 11.30 pagi.
“Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 26 Januari 2024, untuk rawatan jangkitan dan untuk pemerhatian,” katanya dalam kenyataan ringkas pada Isnin.
Pejabatnya pada 20 Februari lalu turut berkongsi gambar terkini pemimpin berusia 98 tahun itu yang dilihat sedang membaca akhbar dan menulis catatan.
Pada 11 Mac lalu, Dr Mahathir sempat membuat hantaran di media sosial dan mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam di negara ini.