HomeBeritaEnam tulang Bella selamat dikebumikan

Enam tulang Bella selamat dikebumikan

BATU PAHAT: Norhisham Samsusah, 36, yang merupakan kakak kepada Bella menzahirkan rasa syukur tuntutan enam ketul tulang milik arwah adiknya dipermudahkan.

Norhisham atau lebih mesra dipanggil Ayu berkata, segala urusan tuntutan tersebut di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan urusan membawa pulang ke Batu Pahat berjalan lancar.

Menurutnya, enam ketul tulang tersebut selamat dikebumikan di pusara Bella di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, dekat sini, pada jam 1 tengah hari pada Sabtu.

“Saya dimaklumkan pegawai penyiasat untuk tuntut tulang di HSI pada petang Jumaat. Saya sangat bersyukur kerana akhirnya urusan pengebumian tulang itu dapat dilakukan.

“Anak arwah Bella, Eusof Abdul Fatah, 5, dan ibu Noraini Salleh, 55, turut berada di tanah perkuburan. Ayah tiri, Mohd Nor Omar, 56, yang meletakkan tulang di pusara,” katanya lapor Sinar Harian.

Pada 6 Mac lalu, enam ketul tulang ditemui berdekatan rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, ketika kerja pembersihan tapak sekitar kawasan itu.

Hasil pemeriksaan polis telah menjumpai dua ketul tulang dipercayai tulang bahagian paha, dua ketul tulang bahagian betis dan dua ketul tulang bahagian keting di lokasi tersebut.

Sementara itu, Ayu berharap usaha dapat dilakukan bagi mencari tulang belakang dan tangan adiknya yang masih belum ditemukan.

“Cuma tulang belakang dan tangan belum ditemukan. Saya harap usaha untuk mencari baki tulang Bella atau Mila Sharmila akan dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Pada 26 Januari lalu iaitu dua hari selepas pengebumian Bella, Ayu membuat pendedahan mengejut apabila memaklumkan beberapa anggota adiknya ‘hilang’.

Kejadian itu disedari ketika dia bersama ibunya, Noraini memandikan jenazah Bella di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebaik disahkan rangka itu milik Bella.

Author

Pilihan Editor