TEKA-TEKI mengenai destinasi pilihan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Haziq Nadzli akhirnya terjawab apabila Perak FC mengumumkannya secara rasmi sebagai pemain terbaharu ditandatangani mereka bagi mengharungi musim Liga Super 2024/2025.
Pengumuman pemain berusia 26 tahun itu dibuat menerusi video di YouTube TBG TV semalam yang turut dikongsi menerusi media sosial Perak FC.
Difahamkan beliau menyertai Perak FC secara pinjaman selama setahun.
Haziq berkata, kehadirannya ke Perak FC mempunyai misi tersendiri selain mahu membantu pasukan baharunya itu mengharungi musim baharu dengan lebih baik.
“Saya berhijrah ke Perak FC untuk mendapatkan minit permainan dan mencari balik rentak prestasi sebelum ini.
“Insya-Allah jika saya diturunkan saya akan sedikit sebanyak membantu memajukan pasukan Perak FC tahun ini,” katanya menerusi rakaman video tersebut.
Menurut laporan Sinar Harian, sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin mengesahkan bahawa pasukannya itu akan mendapatkan khidmat penjaga gol JDT tersebut.
Selain Haziq, Perak FC turut mengumumkan seorang lagi penjaga gol baharu mereka, Firdaus Irman yang pernah beraksi bersama Negeri Sembilan FC.
Dengan pengumuman tersebut, Haziq perlu bersaingan untuk merebut tempat sebagai penjaga gol di dalam kesebelasan utama kendalian ketua jurulatih Yusri Che Lah.
Pada Februari lalu, Perak FC menandatangani bekas penjaga gol PDRM FC, Mohamad Ramadan Abd Hamid bagi memperkuatkan benteng terakhir pasukan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Perak FC turut mengumumkan dua lagi import mereka yang akan mewarnai liga tempatan musim ini.
Bintang muda Korea Selatan, Lee Tae Min dari kelab Liga K2 Korea Selatan, Busan I-Park menjadi pemain taruhan terbaharu selain Luis Henrique Motta dari Brazil.