HomeBeritaHina Sultan, Islam: Tindakan Ganesparan tak cermin pendirian rakyat Malaysia

Hina Sultan, Islam: Tindakan Ganesparan tak cermin pendirian rakyat Malaysia

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyeru pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera ke atas N. Ganesparan yang didakwa menghina Sultan Selangor dan agama Islam.

Dr Ahmad Yunus menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu, turut menyeru pihak yang mengenali Ganesparan untuk tampil memberi maklumat supaya individu berkenaan boleh diseret ke muka pengadilan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, tindakan Ganesparan itu tidak mencerminkan sikap dan pendirian rakyat Malaysia berbilang kaum serta agama yang beradab dan berpegang teguh pada Rukun Negara.

“Sebagai seorang ahli Parlimen Malaysia dan ADUN yang berasal dari negeri Selangor Darul Ehsan, saya berasa cukup kecewa dan kesal dengan kenyataan seorang rakyat Malaysia berketurunan India yang sedang tular di media sosial.

“Beliau dengan penuh biadab telah memaki hamun dan menghina terutama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan agama Islam dalam klip video berdurasi 2 minit 27 saat itu.

“Saya menyeru pihak berkuasa segera mengambil tindakan, dan pihak yang mengenali individu ini tampil memberi maklumat agar beliau boleh diseret ke pengadilan,” katanya.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang mengeluarkan kenyataan didakwa menghina agama Islam, Sultan Sharafuddin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Razarudin berkata, sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka terhadap lelaki itu yang dikenali sebagai N. Ganesparan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, lelaki itu kini dipercayai berada di Hamburg, Jerman selepas kali terakhir keluar pada 2 November 2017.

Video yang dimuat naik Ganesparan di media sosial pada 23 Mac itu antara lain mendakwa PDRM pantas mengambil tindakan terhadap kepada rakyat berbangsa Cina yang menghina Islam.

Namun, katanya, tindakan sama tidak diambil terhadap beberapa individu seperti Zakir Naik, Firdaus Wong dan Zamri Vinoth yang didakwanya menghina agama bukan Islam.

Author

Pilihan Editor