HomeBeritaViralIbu rayu anak pulang selepas merajuk tak dibenar beli hadiah

Ibu rayu anak pulang selepas merajuk tak dibenar beli hadiah

“DHIA, baliklah. Awak tak kasihan ke dengan mama yang tunggu awak di rumah? Banyak cerita yang mama nak kongsi dengan awak.”

Demikian luahan seorang ibu yang merayu agar anak perempuannya kembali semula ke pangkuan keluarga selepas keluar dari kediamannya sejak Selasa lalu.

Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, pada awalnya memberitahu bahawa, dia berniat membelikan hadiah sempena ulang tahun perkahwinan ibu bapanya kali ke-16 yang berlangsung pada 8 Mac lalu.

Namun, wanita itu sebaliknya tidak memberi keizinan kepada anaknya, memandangkan anak sulung daripada dua beradik tersebut memutuskan untuk keluar berbuat demikian ketika sesi persekolahan pada sebelah petang.

“Saya tanya kenapa dia nak beli hadiah pada waktu sekolah berbanding waktu biasa. Dia beritahu bahawa ia tidak boleh dibeli ketika waktu biasa kerana saya tak izinkan.

“Saya memang tidak benarkan dia keluar dengan kawan-kawan dan dia tidak bebas. Kalau dia keluar depan rumah pun saya akan pantau dia.

“Saya tak perlukan hadiah itu, sebaliknya kalau dia buat baik pun sudah cukup untuk saya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Akibat daripada teguran itu, Sharifah berkata, Dhia kemudian dipercayai terasa hati sebelum mengambil keputusan untuk keluar dari rumah.

Namun, katanya, Dhia sempat pergi ke sekolah agama pada sesi pagi, sebelum pulang ke rumah dan menukar jaket berwarna hitam putih.

Sharifah berkata, anaknya tidak membawa keluar telefon bimbit, sebaliknya hanya membawa keluar sebuah beg yang tidak dapat dipastikan kandungannya.

“Ketika saya keluar untuk membeli barangan buka puasa, dia tiada di rumah.

“Apabila saya pulang, adik bongsunya beritahu tidak pasti ke mana arah tuju Dhia, namun hanya ternampak dia membawa beg dan tidak pasti apa yang ada di dalamnya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perwatakan Dhia, Sharifah berkata, kanak-kanak tersebut merupakan seorang yang peramah.

Namun begitu, katanya, pengawas pusat sumber dari Sekolah Kebangsaan Perempuan Pudu 1 (SKPP1), dekat Pudu, Kuala Lumpur itu memiliki bentuk fizikal berbadan besar seperti orang dewasa.

“Tapi kebanyakannya tidak percaya bahawa dia hanya berusia 12 tahun. Cuma bila saya tanya kawan-kawannya dekat kawasan rumah ini, semua tidak mengetahui keberadaannya.

“Maknanya, dia ikut orang luar, cuma saya tidak kenal siapa orang luar tersebut,” katanya sambil menambah bahawa laporan polis atas kehilangan kanak-kanak itu sudah pun dibuat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada Khamis pagi.

“Tindakan mengesan kanak-kanak tersebut kini sedang giat dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai Orang Hilang,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Author

Pilihan Editor